Monday, January 31, 2011

Perutusan - sempena peristiwa besar yang berlaku di Egypt

Salam..
Dikongsikan emel dari Naqib Net Diskusi..
29 Jan 2011
************************************

BICARA YDP
Oleh Pengerusi IKRAM Selangor

Assalamualaikum wmt wbkth

Segala puji bagi Allah SWT Rabbul Jalil. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w penutup segala kenabian.
Hari ini seluruh kota Mesir (Egypt) sedang meledakkan kemarahannnya. Kemarahan masyarakat yang meluap-luap yang tidak mampu lagi ditahan dan dibendung akibat kezaliman Regim Gamel Abd Nasir yang sejak sekian lamanya menindas rakyat dengan sistem kuku besinya, rasuah dan pemerintahan polis yang kejam dan memenjarakan seluruh para penentangnya.

Hari ini kuasa dan taringnya sudah hilang dan lesu. Kukunya sudah hilang dan lembik tidak mampu lagi menahan kemarahan bangsanya sendiri. Ini adalah satu pengajaran buat para Diktator manapun di dunia ini. Memerintah dengan adil dan kasih sayang atau menerima ancaman kemarahan rakyatnya sendiri.
Imam Hassan Al-Banna pernah dalam tulisannya mengatakan kepada pemerintah Mesir waktu itu agar melakukan perubahan. JIka mereka gagal melakukannya rakyat akan bangkit bukan disebabkan oleh Ikhwanul Muslimun (IM) bahkan oleh kezaliman dan kebodohan regim mereka itu sendiri yang gagal menerima seruan dan nasihat. Hari ini Ikhwan Muslimun Mesir menyeru rakyat untuk bertahan dan bersatu menentang regim ini dengan sabar dan aman. Mereka adalah harapan baru bagi ummah dan kini hampir puluhan pemimpin tertinggi IM ditangkap. Kita semua berdoa agar mereka segera dibebaskan dari tahanan. IM telah lama bersabar dengan dakwah dan seruan mereka yang bijaksana. Mendidik masyarakat dengan Islam dan mengajak masyarakat kembali kepada cara hidup Islam sejak ianya diasaskan.

IM pernah menerima gegaran penangkapan dan pengharamannya serta penyiksaan ribuan anggotanya disiksa dan dibunuh dengan kejam oleh Regim Jamal Abd Nasir. Namun IM tetap tabah dan thabat mengharung tempoh penyiksaan, pembunuhan dan pemenjaraan yang sangat panjang. Regim ini telah membunuh jiwa rakyatnya dengan rasa takut kepada kekejaman serta tekanan polis-polis rahsianya yang sentiasa berada di mana-mana. Kini seminggu lepas Regim Tunisia berakhir, kemarahan rakyat Tunis menjalar ke bumi anbiya ini. Kini rakyat yang telah ditekan terlalu lama mula berani membuka segala penjara ketakutan mereka selama ini. Mereka sudah terlalu lama oleh tekanan "under siege" yang menyebabkan jiwa mereka tertekan dan tidak berani menyatakan tidak kepada Regim zalim selama ini.

Kita berharap esok Regim ini akan musnah. Esok kita berharap satu perubahan baru dalam landskap politik Mesir akan berlaku. Reformasi dalam sistem politik, ekonomi dan sosial serta pendidikan akan membuka pintu baru bagi Mesir yang baru. Ini tidak bermakna dakwah dan jihad telah selesai. IM akan terus bekerja melakukan perubahan ini. Menawarkan solusi dan kebijaksanaan baru bagi bangsa Mesir dan demi kebaikan ummah di sana.

Saya menjangkakan satu kudeta akan berlaku di Mesir jika kerajaan sedia ada gagal menerima kemarahan rakyat hari ini. Namun adalah diharapkan ianya akan bersifat sementara sebelum diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kepimpinan yang terbaik dari putera-putera Mesir yang baik dan dan beriman. Di sinilah peluang bagi dakwah IM. Jika sebelum ini IM ingin mendaftarkan parti politik tidak dibenarkan dan IM terus diharamkan, kita berharap semua ini akan berubah dalam seminggu hingga beberapa bulan reformasi di Mesir ini akan berlaku. Jika reform benar-benar berlaku, IM akan mula dihalalkan. Akan mudahlah dakwah ini menyampaikan risalahnya tanpa rasa takut lagi. Parti Politik IM akan didaftarkan, maka mudahlah para politik IM beraksi di pentas politik Mesir membawa cita rasa dan idea Islam dalam negara ini. Jika berlaku reform, akan bebaslah semua tahanan politik Mesir sejak sekian lam yang duduk di bawah tanah dan penjara yang gelap dan kotor itu. Kita doakan semua tahanan IM akan bebas. Moga Naib Mursyid IM Ir Khayrat Shatir akan bebas dari mahkamah tentera sejak sekian lamanya. Moga semua mereka akan bebas dengan izin Allah SWT

Malam ini bangunan parti pemerintah Hosni Mubarak sambungan Regim Gamal Abd Nasier telah terbakar. Ini adalah hari akhir buatnya dan para penzalim. Esok adalah hari kebangkitan baru buat Mesir. Moga Allah SWT akan terus memberikan keberanian kepada putera-putera Mesir untuk menyatakan " down! down Gamel" . Saya yakin samada beliau akan lari meninggalkan buminya ke negara lain atau beliau akan ditahan dan dibicarakan di mahkamah atas segala kezalimannya sejak 30 tahun yang lalu. Selamat tinggal Hosni Mubarak dan selamat datang hari kebahagian buat Bangsa Mesir ' Viva Egypt!".


Ikhwah dan akhawat. Ini menuntut kita semua beramal. Beramal dengan tekun dan sabar. Allah SWT akan menentukan masa kemenangannya. Usaha dakwah dan tajmik. Usaha membina syakhisyyah Islamiyyah di kalangan umat. Memilih anasir soleh dan mendidik mereka dengan syakhsiyyah jamaiyyah seterusnya membawa mereka ke alam realiti dakwah dan pengorbanan, ke arah riaayah jamahiriyyah. Melakukan dakwah, memuliakan ummah, menyantuni masyarakat dengan dakwah dan kebaikan. Rakyat akan melihat amal kita. Amal kita akan berbicara. Berbicara dengan jujur dan ikhlas lebih kuat dari suara-suara kita. Oleh itu teruslah bekerja dengan penuh sabar dan thabat, jujur dan ikhlas mengharapkan wajah Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang menolong (agamanya), sesungguhnya Allah benar-benar
maha kuat lagi maha perkasa" (al-Hajj:40).

Firman Allah yang bermaksud; "Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan
Allah, dipesakakannya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (al A'raf:128).

Firman Allah yang bermaksud;
"Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat
kerosakan di (muka) bumi dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa" ( al
Qasas:83).

Segala kebenaran hanya milik Allah SWT
Kepada Pemangku YDP IKRAM SEL Hj Mazmi terima kasih dan selamat terus beramal dan berjuang.

Faqir Ilaihi
Saudara kamu
Shamsul Ma'arif Hj Ismail

(kini di Oxford UK)

0 comments:

Post a Comment